EKONOMI

MALAYSIA TERUS AMBIL LANGKAH PROAKTIF PASTIKAN KEPENTINGAN EKONOMI, PERDAGANGAN KEKAL KUKUH

18/02/2025 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Malaysia akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan kepentingan ekonomi dan perdagangan negara kekal kukuh di persada antarabangsa, menurut Kementerian Luar.

Kementerian itu menjelaskan langkah tersebut termasuk memperkukuh hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan dialog berterusan yang membolehkan penyelesaian isu perdagangan, meliputi potensi kenaikan tarif, dilakukan secara terbuka dan konstruktif untuk melindungi kepentingan negara serta menjamin kesinambungan pertumbuhan ekonomi.

“Malaysia juga akan mengambil langkah strategik dalam memperkukuh hubungan kerjasama dengan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk meneroka peluang kerjasama baharu yang dapat meningkatkan lagi perdagangan dua hala demi manfaat bersama,”  tambah kementerian itu menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu memaklumkan Malaysia akan memastikan hubungan dengan kuasa besar lain tetap seimbang dan pragmatik, tanpa memihak kepada mana-mana pihak, demi melindungi kepentingan ekonomi dan kedaulatan negara.

Jawapan itu bagi menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) bertarikh 17 Februari mengenai strategi kerajaan untuk mengemudi Presiden Trump “Zero-Sum Politics” sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Kementerian itu menambah, AS merupakan antara rakan strategik utama bagi Malaysia, berperanan sebagai rakan dagang ketiga terbesar dan penyumbang utama pelaburan langsung asing dalam pelbagai sektor.

Bagi tempoh Januari hingga November 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan AS meningkat sebanyak 29.5 peratus kepada RM293.92 bilion (US$64.44 bilion) daripada RM226.96 bilion (US$49.82 bilion) untuk tempoh yang sama pada 2023, menurutnya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar menjelaskan ASEAN menghargai hubungan dengan semua rakan dialognya, termasuk AS.

“Sehubungan ini, ASEAN akan meneruskan kerjasama dengan semua rakan dialognya dalam usaha membangunkan dan memperkasakan Komuniti ASEAN serta memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman dan stabil,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan