EKONOMI

SC, ICAEW BEKERJASAMA PERTINGKAT KEMAHIRAN DALAM DEDAHAN KEMAMPANAN

19/02/2025 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memulakan usaha kerjasama dengan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) menerusi pemeteraian Surat Hasrat (LOI) berkaitan kerjasama dalam bidang khusus.

Dalam kenyataan bersama hari ini, SC berkata kerjasama itu menumpukan aspek pembinaan kapasiti, termasuk latihan khas merangkumi pendedahan kewangan berkaitan iklim, pensijilan kelestarian dan latihan ICAEW serta inisiatif lain.

Kedua-dua pihak juga menyifatkan kerjasama itu sebagai tepat pada masanya ketika Malaysia menggalas peranan Kepengerusian ASEAN 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan.”

Ini juga seiring dengan perkembangan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global dan membuktikan kepentingan pengawal selia mempunyai kepakaran sewajarnya sebagai sesuatu yang kritikal.

Ketua Eksekutif ICAEW Alan Vallance berkata kerjasama dengan SC hanya mengesahkan lagi komitmen organisasi itu dalam memperkukuh kemahiran kemampanan di serata ASEAN.

“Kerjasama ini melengkapkan pengawal selia dengan mekanisme serta visi diperlukan agar selaras dengan piawaian ESG global selain memastikan peraturan sebagai kekal menyokong, bukan membebankan.

“Menerusi pemupukan pembinaan kapasiti, perkongsian pengetahuan, dan inovasi kewangan mampan, kita boleh bekerjasama untuk membina pasaran modal ASEAN yang saling terhubung, terangkum dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau juga menegaskan kepentingan aspek kepercayaan, etika dan kemampanan yang disifatkan sebagai teras pasaran modal.

“Kemampanan bukan hanya berkaitan dengan pematuhan - ia adalah keperluan perniagaan yang mendorong ketahanan, inovasi dan kejayaan jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi sependapat dan menekankan keperluan pengawal selia meningkatkan kemahiran.

Berikutan itu, katanya, Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 memberi peluang bagi memacu kemampanan serta ketahanan kewangan.

“Kerjasama kita dengan ICAEW dapat memastikan SC kekal di hadapan dalam piawaian global sambil melengkapkan pengawal selia untuk menyokong peserta pasaran. Secara bersama juga kita dapat mengukuhkan lagi pasaran modal ASEAN dan keyakinan pelabur," katanya.

SC berkata pada 14 Feb, 2025, ICAEW telah mengadakan bengkel di Mesyuarat Pengerusi Forum Pasaran Modal ASEAN di Pulau Pinang yang merangkumi keperluan pendedahan kemampanan serta amalan terbaik bagi kawal selia.

“Bengkel itu termasuk piawaian IFRS S1 dan S2 untuk pendedahan berkaitan iklim dan kemampanan, pelaporan pelepasan Skop 3 dan cabaran pengukuran dan kesan peraturan iklim global seperti Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon dan Arahan Pelaporan Kemampanan Korporat.

“Ini turut menangani peranan pengawal selia dalam dasar kemampanan serta penglibatan pihak berkepentingan," katanya.

Maklumat lanjut di https://www.icaew.com/technical/sustainability 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan