AM

NOTIS KEKOSONGAN KERUSI DUN AYER KUNING DIHANTAR SEAWAL SELASA - SPEAKER

23/02/2025 10:38 AM

IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid akan menghantar pemakluman notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seawalnya Selasa ini.

Beliau berkata secara ringkas ketika ditemui pemberita di pekarangan kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas  perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang petang semalam.

PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh SPR menerima notis rasmi mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Kali terakhir PRK diadakan di Perak ialah di DUN Slim pada 29 Ogos 2020.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan exco kerajaan negeri antara yang dilihat menziarahi keluarga Allahyarham.

Jenazah Allahyarham Ishsam tiba di kediamannya kira-kira 12.30 malam tadi selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Pulau Pinang.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid An-Nur dekat sini untuk dimandi dan disolatkan sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan