KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM) yang pertama bagi tahun 2025, yang berperanan menetapkan dasar serta hala tuju pelaksanaan agenda Malaysia MADANI.
Anwar berkata MTMM merupakan forum tertinggi yang membincangkan pelbagai isu berkaitan pelaksanaan dasar kerajaan, selain membuat keputusan berhubung pengukuhan serta penambahbaikan dalam tadbir urus Kerajaan MADANI.
“Pelbagai perkara telah dibincangkan bersama ahli Majlis, berkenaan pengukuhan dan penambahbaikan dalam tadbir urus Kerajaan MADANI, yang menitikberatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.
Anwar berkata sebarang usul dan keputusan yang dibuat dalam MTMM akan disusuli dengan tindakan lanjut oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), yang diketuai Ketua Setiausaha Negara.
“Saya percaya, koordinasi yang tersusun dalam kalangan agensi kerajaan akan memastikan matlamat yang disasarkan akan tercapai dan mendatangkan hasil dengan lebih efisien,” katanya.
-- BERNAMA