EKONOMI

PENGLIBATAN PM MUKTAMADKAN RUNDINGAN KERJASAMA STRATEGIK MIDA-ARM HOLDINGS

05/03/2025 08:33 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) — Rundingan antara Malaysia dan Arm Holdings Plc yang telahpun dimuktamadkan, merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor negara serta mempercepat pembangunan teknologi tempatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kejayaan rundingan ini adalah hasil usaha berpasukan yang melibatkan beberapa kementerian utama, termasuk Kementerian Ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Kewangan dan beberapa agensi berkaitan.

“Kerjasama ini selari dengan strategi semikonduktor negara merangkumi keseluruhan rantaian bekalan daripada reka bentuk litar bersepadu (IC design) sehingga ke fabrikasi wafer. 

“Ini adalah langkah pertama dalam membangunkan keupayaan tempatan dalam IC design, pembungkusan maju (advanced packaging), serta mesin dan peralatan fabrikasi,” katanya kepada Bernama selepas majlis Perkongsian Strategik dalam Industri Semikonduktor yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar memberitahu Malaysia akan melabur US$250 juta dalam dekad akan datang, memanfaatkan kepakaran Arm untuk mewujudkan ekosistem baharu dalam industri kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor melalui kerjasama strategik antara kedua-duanya.

Mengenai pemilihan Arm sebagai rakan strategik, Tengku Zafrul menjelaskan syarikat itu memiliki kepakaran dalam reka bentuk teknologi dan hak harta intelek (IP), dengan 80 hingga 90 peratus pasaran global bergantung kepada teknologi mereka untuk sektor-sektor seperti automotif dan mudah alih.

Sementara itu, mengulas mengenai perbandingan antara kerjasama Malaysia-Arm dan Malaysia-Brazil, beliau berkata kedua-dua inisiatif itu mempunyai pendekatan yang berbeza.

Kerjasama antara Malaysia dan Brazil dalam industri semikonduktor merupakan susulan mesyuarat industri semikonduktor antara kedua-dua negara pada November 2024 yang dihadiri oleh Anwar sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi beliau ke Brazil.

“Di Brazil, kita terlibat dalam kerjasama yang lebih bersifat diplomasi ekonomi, di mana kita (Malaysia) membantu mereka membangunkan sektor baharu. 

“Tetapi di Malaysia, kerjasama dengan Arm, kita mengguna pakai teknologi syarikat ini (Arm) untuk membolehkan syarikat tempatan memperoleh akses kepada teknologi baharu serta lesen IP yang diperlukan,” katanya.

Tengku Zafrul turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang memainkan peranan penting dalam rundingan itu.

“Perdana Menteri bertindak seperti ketua perunding (chief negotiator), menyelesaikan isu-isu yang sebelum ini tertangguh… kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa penglibatan langsung beliau.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA akan memastikan teknologi Arm  dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat tempatan bagi merancakkan lagi industri semikonduktor Malaysia,” katanya.

Pada Jumaat, Rene Haas, Ketua Pegawai Eksekutif Arm, sebuah syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) mengadakan perbincangan dalam talian bersama Anwar sambil disertai Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp, Masayoshi Son untuk menyatakan hasrat mahu berpangkalan di Malaysia dan akan menandatangani perjanjian bersama.

SoftBank merupakan syarikat pemegangan pelaburan multinasional terkemuka Jepun dan memiliki kepentingan dalam Arm.

—- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan