AM

PM ANWAR BUAT 'KEJUTAN' TURUN PADANG TINJAU HARGA BAZAR RAMADAN

05/03/2025 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Sehari selepas menyatakan hasrat untuk turun padang meninjau harga dan kualiti makanan di bazar Ramadan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan lawatan ‘mengejut’ di Bazar Ramadan Jalan Kuching, Taman City, di sini.

Dalam tinjauan kira-kira 40 minit itu, Anwar sempat beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung sambil bertanyakan mengenai cabaran mereka sepanjang Ramadan, khususnya berkaitan kos bahan mentah dan harga jualan makanan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Peniaga air tebu Amirul Sharifuden, 34, berkata kehadiran Perdana Menteri di bazar itu adalah sesuatu yang tidak dijangka.

"Saya terkejut, tiba-tiba ramai orang berkumpul di depan gerai. Rupa-rupanya Perdana Menteri! Dia bertanya khabar dan tanya tentang jualan," katanya.

Peniaga karipap Muhammad Faiq Zainuddin, 27, pula teruja kerana buat kali pertama dapat melihat Perdana Menteri secara bersemuka.

"Selama ini hanya nampak di televisyen, tapi hari ini dapat lihat depan mata. Memang tak sangka!" katanya.

Semalam, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah, dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri berkata selain menyatakan hasratnya itu, Anwar turut mengarahkan pemantauan harga makanan di bazar Ramadan dipertingkatkan bagi mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan