JENAYAH & MAHKAMAH

VIDEO AI DEEPFAKE LIBAT TOKOH POLITIK, MAIN ISU SENSITIF ANCAM KESELAMATAN NEGARA - PAKAR

13/03/2025 01:04 PM

Oleh AHMAD SYABIL SULTAN NOORDIN AHMAD

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Penghasilan dan penyebaran video-video kecerdasan buatan (AI) deepfake di platform media sosial terutamanya melibatkan tokoh-tokoh politik, dengan menjadikan isu-isu sensitif sebagai topik utama, berpotensi menimbulkan ancaman yang serius terhadap keselamatan negara.

Malah, Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber Universiti Sains Malaysia Prof Dr Selvakumar Manickam berkata dalam senario yang ekstrem, video AI deepfake (palsu tulen), boleh digunakan untuk mensimulasikan serangan atau mencipta operasi false flag yang berpotensi mencetuskan konflik atau peperangan di sesebuah negara.

“Penyebaran video deepfake, khususnya yang melibatkan tokoh politik atau (memainkan) isu sensitif, boleh dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara. Dalam senario ekstrem, ia juga boleh digunakan untuk mensimulasikan serangan atau mencipta operasi false flag, yang berpotensi mencetuskan konflik atau peperangan di peringkat antarabangsa.

“Kemudahan untuk mencipta dan menyebarkan (video AI) deepfake yang meyakinkan, akan meningkatkan lagi ancaman (terhadap keselamatan negara), menjadikannya (sebagai) alat yang berkuasa untuk pihak musuh yang ingin menggugat kestabilan sesebuah negara,” kata beliau kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas kemunculan video AI deepfake melibatkan dua pemimpin iaitu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, serta implikasi besarnya terhadap keselamatan negara dan antarabangsa.

Video AI deepfake terbabit yang tular di platform media-media sosial menunjukkan Trump dan Anwar terlibat dalam perbualan, membincangkan isu geopolitik serta hubungan diplomatik dua hala serta dalam masa sama mempromosi skim pelaburan yang kononnya menawarkan keuntungan berlipat kali ganda.

Video AI deepfake membabitkan imej pemimpin kedua-dua negara itu pertama kali dikesan muncul di platform X dan TikTok, sebelum tersebar ke platform media sosial yang lain seperti Facebook dan aplikasi pesanan, WhatsApp.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia mahupun Pejabat Perdana Menteri tentang penyebaran video AI deepfake yang memaparkan pemimpin kedua-dua negara itu sedang berbual.

Namun, sekiranya pembuatan dan penyebaran video-video sebegitu tidak dibendung dengan segera, ia dibimbangi boleh menjejaskan kestabilan politik dan meruntuhkan kepercayaan awam terhadap pemimpin negara.

Selvakumar tidak menolak kemungkinan video seperti itu memiliki potensi menjadi alat yang amat berkuasa untuk digunakan pihak berkepentingan, untuk mengeksploitasi sensitiviti politik serta dinamik sosial di Malaysia, seterusnya menimbulkan konflik atau memanipulasi pendapat rakyat.

Beliau berkata terdapat kes sebelum ini yang video AI deepfake telah memberi kesan besar kepada pemimpin dunia dan sesuatu acara besar yang berlaku di sesebuah negara.

Selvakumar memberikan contoh di Indonesia, yang video AI deepfake disebarkan untuk menggambarkan seorang bekas presiden (yang telah meninggal dunia) menggalakkan rakyat negara itu untuk keluar mengundi.

“Di India pula, rakaman digunakan untuk menyebarkan kenyataan palsu yang dikaitkan dengan seorang tokoh politik manakala di Slovakia pula, rakaman audio AI deepfake yang mempunyai mimik suara seorang calon liberal diedarkan sebelum pilihan raya, yang dipercayai memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya negara tersebut,” katanya.

Selvakumar berkata teknologi AI deepfake digunakan dalam video membabitkan pemimpin Malaysia dan Amerika Syarikat itu, menunjukkan kemajuan dalam teknologi AI sehingga mampu meniru pergerakan bibir, intonasi suara dan ekspresi wajah dengan tahap ketepatan yang tinggi.

Pengesanan video AI deepfake katanya, adalah agak mudah bagi mereka yang terlatih dan dapat dikenal pasti menerusi aspek teknikal, seperti ketidaksempurnaan pergerakan mulut dengan audio, ketidakkonsistenan dalam pencahayaan serta bayang-bayang pada wajah dan objek.

“Bagaimanapun, bagi orang awam yang tidak mempunyai kepakaran teknikal, pendekatan yang berbeza diperlukan untuk mengelakkan diri daripada diperdaya oleh video-video ini,” kata Selvakumar sambil menasihati pengguna supaya memeriksa sumber berita mereka dengan teliti.

Sebelum ini, beberapa video AI deepfake melibatkan pengurusan tertinggi syarikat Petronas, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc Elon Musk dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok turut telah tular di platform media sosial negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan