Oleh Habsah Ismail
KOTA BHARU, 16 Mac (Bernama) -- Ramadan dan kuih manisan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Tahun ini, kuih tradisional yang semakin mendapat perhatian pencinta makanan di Kelantan ialah kuih sekaya labu sebutir.
Bukan hanya namanya yang unik malah keistimewaan rasa dan bentuknya yang menyerupai sebiji labu menjadikannya tarikan utama, laris terjual bak pisang goreng panas.
Berintikan sekaya lembut berkrim serta aroma santan yang membangkitkan selera, kuih warisan dari Thailand ini menjadi hidangan wajib bagi pelanggan di Kuih Suri yang diusahakan Suri Wan Ali, 39.
Sebelum ini, kuih itu hanya terkenal di Rantau Panjang, tetapi disebabkan permintaan yang kian meningkat Suri mula menjualnya di Jalan Tok Hakim sejak tujuh tahun lepas.
"Kuih sekaya labu ini ada dua jenis iaitu sekaya labu sebutir dan sekaya labu talam. Tapi yang paling menjadi kegilaan pelanggan bulan puasa ini ialah sekaya labu sebutir.
"Gabungan lemak manis sekaya dan kelembutan isi labu membuatkan ia sempurna untuk berbuka puasa," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kuih ini bukan sekadar satu menu biasa, tetapi menyimpan nilai warisan keluarga. Resipinya diwarisi daripada ibunya, Wan Ramlah Wan Harun, 62, yang mewarisi daripada arwah bapanya, Wan Ali Wan Harun, seorang warga Thailand.
Menyedari permintaan yang semakin meningkat, Suri bersama suaminya Sani Ismail, 69, berusaha memastikan bekalan labu mencukupi sepanjang Ramadan.
"Setiap hari, kami gunakan hampir 50 biji labu untuk menghasilkan kuih ini. Setiap satu dipotong menjadi lapan hingga 10 bahagian dan dijual pada harga RM5 sepotong," katanya.
Bahan-bahan utama kuih ini cukup ringkas seperti santan, telur, dan gula melaka. Walaupun harga santan meningkat, Suri tetap berpegang pada prinsip tidak menaikkan harga agar pelanggan setia dapat terus menikmati kuih ini seperti biasa.
Beliau berkata proses membuat kuih sekaya labu bermula seawal 8 pagi dengan labu dibersihkan, dibuang biji, dan diisi dengan campuran telur, santan serta gula melaka sebelum dikukus selama 40 minit.
"Selepas masak, ia dibiarkan sejuk sehingga teksturnya menjadi sempurna dan padat tetapi lembut di dalam," katanya.
Bukan hanya kuih sekaya labu yang menjadi buruan, tetapi Kuih Suri juga terkenal dengan lebih 40 jenis kuih tradisional seperti pulut nangka, sekaya nangka, kuba guling, sengkuang santan, mokeng dan koleh kacang hijau.
"Setiap kali Ramadan, kami sekeluarga memang tak menang tangan. Pelanggan mula beratur seawal 3 petang, ada yang sanggup menunggu lama kerana takut kehabisan kuih kegemaran mereka," katanya.
-- BERNAMA