AM

INSIDEN TAMPAR BUKAN MUSLIM MAKAN KETIKA RAMADAN TIDAK CERMIN PERPADUAN, KEHARMONIAN

17/03/2025 01:25 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mac (Bernama) -- Insiden seorang lelaki bukan Muslim diherdik dan ditampar seorang individu semasa makan di kedai serbaneka di pusat beli-belah di sini ketika Ramadan, disifatkan sebagai tindakan provokasi selain tidak mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian negara berbilang kaum. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata tindakan itu harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara. 

"Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum. 

"Saya berharap semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi antara rakyat Malaysia dan seharusnya sentiasa saling menghormati budaya serta mengamalkan nilai Faham, Hormat dan Terima," katanya menerusi laman X beliau hari ini. 

Aaron berkata isu menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh dan semua pihak tidak seharusnya membiarkan sebarang insiden yang dapat meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia. 

"Negara ini hanya akan maju jika kita bersatu, saling menghormati dan hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama," katanya. 

Aaron memaklumkan mangsa insiden itu dikenali sebagai Elijah telah membuat laporan di Balai Polis Tampoi di sini dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

"Saya berharap semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya. 

Sementara itu, Elijah dalam ciapan menerusi akaun X @bingbinge656 berkata dia telah menjelaskan dirinya bukan Muslim semasa diherdik, bagaimanapun lelaki itu memintanya menunjukkan kad pengenalan sebagai bukti. 

Elijah mendakwa turut ditampar lelaki itu, sebelum anak kepada individu berkenaan menenangkan situasi dan meminta maaf atas kelakuan bapanya. 

Insiden itu juga tular dalam media sosial semalam, menerusi dua video berdurasi 32 dan 44 saat.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan