LAHAD DATU, 17 Mac (Bernama) -- Sebanyak 20 Ruang Daya Cipta (RDC) yang memberi akses kepada komuniti terhadap kemudahan, peralatan dan fasiliti berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI) berjaya dibangunkan di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovatif Malaysia (YIM) Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata daripada jumlah itu empat RDC dibangunkan di Sabah iaitu Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu dan tebaharu di Lahad Datu.
"RDC Lahad Datu yang terletak di Kolej Vokasional Lahad Datu siap dibina pada Disember tahun lepas dilengkapi dengan pelbagai peralatan serta aplikasi teknologi berkaitan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) komputer, mesin pencetak 3D, termasuk set studio digital.
"RDC Lahad Datu menjadi antara contoh konsep inovasi sosial diterjemahkan dalam bentuk fasiliti yang menyediakan akses kepada teknologi dan latihan kepada komuniti setempat," katanya kepada pemberita selepas melawat RDC itu di sini hari ini.
Beliau berkata penduduk di Lahad Datu kini berpeluang meneroka teknologi terkini seperti pencetak 3D, robotik dan dron serta memanfaatkan peralatan canggih bagi meningkatkan kemahiran dan daya cipta mereka.
"Pelancaran RDC Lahad Datu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan STIE dalam kalangan komuniti luar bandar di sini sekali gus memperluaskan inisiatif inovatif ini ke seluruh negeri," katanya lagi.
Sharmila berkata RDC merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang dilaksanakan oleh YIM.
"Selain memberi peluang kepada masyarakat setempat terlibat dalam aktiviti inovasi, inisiatif ini juga membantu meningkatkan taraf hidup dan produktiviti masyarakat melalui cetusan idea inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan," katanya.
Selain itu, beliau berkata hingga kini terdapat 482 modul dijalankan melibatkan 11,000 peserta manakala jumlah pengunjung ke RDC sebanyak 13,500.
-- BERNAMA