KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Masih terdapat segelintir peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar ibu negara yang culas untuk meletakkan tanda harga pada barang jualan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesalahan itu dikesan dalam pemeriksaan yang dijalankan pihak penguat kuasa sejak 2 Mac lepas terhadap 2,000 gerai bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan menerusi Op Pantau dijalankan bagi memastikan peniaga-peniaga mematuhi undang-undang dikuatkuasakan kementerian berkenaan sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Tahap pematuhan berkaitan tanda harga adalah baik, namun didapati masih ada segelintir peniaga culas meletakkan tanda harga sehingga diberi teguran oleh anggota penguat kuasa yang bertugas membuat rondaan pemeriksaan.
“Pemeriksaan antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, halal dan penjualan barang-barang keperluan Hari Raya Aidilfitri,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu memaklumkan 99 anggota penguat kuasa KPDN dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemeriksaan di 40 bazar Ramadan dan dua bazar Aidilfitri.
Dalam pada itu, pemantauan harga juadah berbuka puasa di bazar Ramadan sekitar ibu kota mendapati rata-rata peniaga mengekalkan harga jualan seperti tahun lepas meskipun terdapat kenaikan harga makanan berasaskan daging atau kambing, air balang dan kuih-muih.
“Kenaikan harga ini boleh berlaku sekiranya ada kenaikan atau perubahan kos dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPDN menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dan mengelakkan pembelian barangan atau juadah yang tidak mempunyai tanda harga atau memaparkan harga mengelirukan kerana ia boleh menjadi petunjuk awal kepada manipulasi harga.
Setakat ini, hanya empat aduan berkaitan bazar Ramadan direkodkan melalui sistem e-aduan KPDN Kuala Lumpur.
“Tiga daripada aduan itu melibatkan video tular berkaitan peniaga yang menjual air limau pada harga RM10 dan bihun sup berharga RM20 di Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman serta peniaga kuih apam talam yang mengenakan RM2 bagi tambahan kelapa parut di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail.
“Siasatan mendapati selepas video mereka tersebar, peniaga-peniaga berkenaan tidak lagi berniaga di lokasi masing-masing, namun pemeriksaan semula akan dilakukan oleh anggota penguat kuasa bagi memastikan kepatuhan peniaga sepanjang tempoh Ramadan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA