AM

PENGURUSAN ROYALTI MUZIK PERLU DITAMBAH BAIK, LINDUNGI HAK KARYAWAN - ARMIZAN

17/03/2025 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pengurusan royalti muzik perlu terus ditambah baik dan diperkasakan bagi memastikan hak cipta para karyawan tempatan dilindungi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata bagi tujuan itu, kerajaan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memperkenalkan Garis Panduan (GP) Pengoperasian Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO), yang bertanggungjawab mengurus kutipan royalti.

“CMO dilesenkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 oleh MyIPO di bawah Seksyen 27A untuk mewakili pemunya karya mengutip daripada pengguna karya.

“Sebelum ini tidak ada sebarang garis panduan, sekarang mereka boleh melalui perlembagaan masing-masing menggerakkan pengoperasian mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Advokasi Royalti Muzik di sini hari ini.

Armizan berkata dengan peruntukan baharu itu, MylPO kini mempunyai kuasa untuk mengeluarkan garis panduan mengenai apa-apa perkara berhubung perisytiharan dan pengendalian CMO.

Armizan berkata advokasi seperti yang diadakan hari ini juga merupakan satu strategi untuk menyuntik kefahaman, kesedaran dan juga penglibatan dalam kalangan pihak berkepentingan khususnya penggiat seni mengenai hak-hak mereka sebagaimana yang terkandung di bawah Akta Hak Cipta.

Selain itu, Armizan berkata sejak Januari 2023 sehingga Februari 2025, sebanyak 17,402 permohonan pendaftaran hak cipta telah diterima.

“Pendaftaran hak cipta melibatkan karya muzik dan rakaman bunyi mencatatkan angka yang agak rendah iaitu masing-masing sejumlah 170 dan 146 pendaftaran sahaja.

“Ini juga menunjukkan keperluan untuk meningkatkan program advokasi kesedaran dan pendidikan dalam kalangan golongan sasar penggiat seni yang terlibat termasuk para artis baharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri dijangka diumumkan minggu ini.

“Sikit lagi nak finalkan, kita nak pastikan pengguna dapat harga yang bagus, kita nak tambah banyak lagi (barangan), insya-Allah minggu ini,“ katanya.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan