KUCHING, 18 Mac (Bernama) -- Semua pemain industri pelancongan di Sarawak digesa memastikan produk, perkhidmatan dan kemudahan disediakan mereka berada pada tahap kualiti terbaik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perkara itu penting kerana Malaysia akan menjadi tumpuan dunia sepanjang kempen pelancongan itu berlangsung.
Sekiranya terdapat kemudahan rosak, beliau berkata ia perlu dibaiki segera kerana perkara itu melibatkan imej Sarawak dan negara.
"Jangan sampai ada pelancong mengadu menerusi media sosial mengenai tandas tidak bersih atau jeti di taman negara rosak, baru kita hendak bertindak," katanya kepada pemberita selepas program libat urus industri pelancongan di sini hari ini.
Abdul Karim berkata pemandu pelancong juga perlu memainkan peranan kerana mereka berada di lapangan.
"Kadang-kadang mereka tahu ada masalah tetapi tidak mahu memaklumkan kepada pihak berwajib," katanya.
-- BERNAMA