AM

JPNIN YAKIN MAMPU CAPAI 0.7 INDEKS PERPADUAN NASIONAL TAHUN INI - KETUA PENGARAH

18/03/2025 09:37 PM

TUMPAT, 18 Mac (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yakin mampu mencapai kenaikan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kepada 0.7 pada tahun ini.

Ketua Pengarah JPNIN Datuk Che Roslan Che Daud berkata kajian IPNas kali ketiga itu akan dilakukan oleh Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kajian pertama IPNas dilakukan pada tahun 2018, dengan mencatatkan 0.567 dan ia meningkat pada tahun 2022 iaitu 0.629.

“Justeru, untuk kajian kali ketiga pada tahun ini, kita yakin dan percaya IPNas mampu capai 0.7 seperti yang disasarkan oleh pihak kami sebelum ini berdasarkan program-program yang akan dilakukan sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel pada Dialog Perpaduan dan Keselamatan Komuniti bertajuk ‘Perpaduan dan Keamanan: Kunci Kepada Komuniti Selamat’ di Kampung Baru Pasir Pekan di sini hari ini.

Turut menjadi panel pada sesi itu ialah Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie dan Penolong Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan Zainal Abidin Mamat, manakala Pengarah Pusat Pemikiran Keamanan dan Kesejahteraan Insan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Noor Hisham Md Nawi bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Che Roslan berkata antara asas pembangunan IPNas adalah defisit sosial yang melibatkan kelas sosial, agama, pendidikan dan bahasa.

“Untuk tahun ini, lebih 20,000 program membabitkan 8,529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara perlu melaksanakan sekurang-kurangnya lapan program bersama komuniti.

“Oleh itu, lebih banyak program dan interaksi sosial diadakan dengan masyarakat ia secara tidak langsung dapat menyampaikan segala maklumat atau dasar yang dilakukan kerajaan, sekali gus menangkis persepsi negatif yang boleh memecahbelahkan perpaduan negara,” katanya.

Berdasarkan skala pengukuran IPNas, 0.0 hingga 0.24 adalah tahap lemah, 0.25 hingga 0.49 (rendah), 0.50 hingga 0.74 (sederhana) dan 0.75 hingga 1.00 (tinggi).

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan