IPOH, 19 Mac (Bernama) -- Semua masjid di seluruh Perak akan terus melaksanakan solat sunat hajat bagi mendoakan kesejahteraan serta keselamatan rakyat Palestin, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata ia boleh dilaksanakan selepas solat Jumaat atau tarawih dan perkara yang baik ini sebenarnya tidak perlu menunggu arahan atau saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk melaksanakannya.
"Saya juga pernah beberapa kali solat Jumaat atau tarawih ada dianjurkan (solat hajat) atau imam membaca doa Qunut Nazilah dan dalam doa itu kita juga memohon Allah melindungi rakyat Gaza dan beberapa tempat lain," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan juadah hari raya sumbangan kerajaan negeri kepada pasukan beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sebanyak 10,500 bungkusan berisi rendang tok, nasi himpit, kuah kacang, sambal ikan bilis goreng serta serunding disediakan lebih 200 petugas antaranya kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA).
Juadah raya ini diagihkan antaranya kepada anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, Akademi Tentera Udara Perak, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh Sitiawan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Markas 2 Briged.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar hari ini memaklumkan masjid dan surau di bawah seliaan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan melaksanakan solat hajat hingga akhir Ramadan sebagai tanda solidariti dan doa buat rakyat Palestin.
Beliau berkata serangan udara terbaru Israel di Gaza yang mengorbankan lebih 400 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak manakala 562 lagi cedera ternyata mengingkari perjanjian gencatan senjata dan dikutuk sekeras-kerasnya.
-- BERNAMA