PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Malaysia merekodkan kerugian sebanyak RM933.4 juta akibat banjir tahun lepas, bersamaan 0.05 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Kajian itu bertujuan menilai jumlah kerugian dan kerosakan akibat banjir melanda negara pada 2024, meliputi nilai kerosakan tempat kediaman, kenderaan serta premis perniagaan dan perindustrian.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kerugian terbesar dicatatkan bagi tempat kediaman melonjak kepada RM372.2 juta berbanding RM168.3 juta pada 2023, diikuti aset awam dan infrastruktur sebanyak RM303.4 juta (2023: RM380.7 juta).
"Kerugian dalam sektor pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta (2023: RM120.6 juta) manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian RM54.1 juta (2023: RM53.2 juta).
"Sementara itu kerosakan kenderaan berjumlah RM17.3 juta (2023: RM22.3 juta) manakala sektor pembuatan mencatatkan kerugian paling kecil iaitu RM1.2 juta (2023: RM10.3 juta)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata banjir pada 2024 memberi impak cukup besar kepada ekonomi negara dengan majoriti kerugian tertumpu kepada tempat kediaman, infrastruktur awam dan pertanian.
Beliau berkata Kelantan, Terengganu dan Kedah mengalami kerugian paling ketara, terutama pada tempat kediaman dan premis perniagaan manakala kerugian kenderaan serta pembuatan hanya mengalami kerosakan sederhana.
Dari segi tempat kediaman, beliau berkata Kelantan mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM139 juta diikuti Terengganu dengan RM103.1 juta dan Kedah RM54 juta.
Daerah paling terjejas di Kelantan ialah Pasir Mas dengan kerugian berjumlah RM46.2 juta diikuti Tumpat (RM31.7 juta) dan Kota Bharu (RM19.2 juta).
"Di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman berjumlah RM38.4 juta diikuti Setiu (RM16.1 juta) dan Kemaman (RM14.2 juta). Bagi Kedah, Kota Setar dan Kubang Pasu mencatatkan kerugian tertinggi iaitu masing-masing RM22 juta dan RM9.4 juta, diikuti Baling dengan RM6.9 juta," katanya.
Kelantan menanggung kerugian premis perniagaan terbesar berjumlah RM27.1 juta diikuti Terengganu sebanyak RM16.4 juta dan Kedah dengan RM4.3 juta
Sementara itu Terengganu mencatatkan kerugian kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM5.8 juta diikuti Kelantan sebanyak RM4 juta dan Kedah dengan RM2.1 juta.
Berdasarkan kajian kes dijalankan DOSM, Mohd Uzir berkata 65 peratus mangsa banjir menerima bantuan dalam tempoh 48 jam.
"Lebih 45 peratus mangsa banjir bersedia menghadapi bencana dengan menyimpan stok keperluan harian bagi memastikan kelangsungan hidup dalam tempoh kecemasan. Selain itu 17 peratus mengambil langkah perlindungan dengan mencarum insurans sebagai jaminan kewangan sekiranya berlaku kerosakan atau kerugian.
"Namun kurang daripada 0.1 peratus memilih untuk tidak mencarum insurans. Sementara 25 peratus mangsa banjir tidak membuat sebarang persediaan yang mungkin meningkatkan risiko kesukaran semasa dan selepas kejadian banjir," katanya.
-- BERNAMA