AM

SULTAN SELANGOR BERBUKA PUASA BERSAMA WARGA UPM

19/03/2025 11:09 PM

SERDANG, 19 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menghadiri majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama kira-kira 1,000 warga UPM dan komuniti sekitar di Masjid UPM di sini.

Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang juga Pro Canselor UPM.

Pada majlis itu, baginda berkenan mengurniakan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim, mualaf, orang kurang upaya (OKU) dan asnaf terdiri daripada 45 pelajar dan staf UPM.

Sultan Sharafuddin selaku Canselor UPM turut berkenan menyempurnakan penerimaan pelbagai sumbangan dana, wakaf dan zakat daripada pelbagai pihak kepada UPM.

Ia termasuk sumbangan Wakaf Ilmu UPM daripada orang perseorangan, rakan korporat UPM, kakitangan dan pelajar universiti berjumlah RM1.08 juta yang dipersembahkan pendaftar universiti itu Muhazam Mansor.

Wakaf Ilmu UPM diwujudkan sejak 2012 bagi memenuhi keperluan dan pembiayaan aktiviti akademik, bantuan kewangan, penyelidikan, pembangunan fasiliti serta penjanaan bagi warga institusi itu.

Turut dipersembahkan dana zakat RM8.67 juta oleh Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan zakat perniagaan berjumlah RM411,627.73 daripada UPM Holdings Sdn Bhd, Koperasi UPM Bhd dan PLUS Malaysia Berhad.

Baginda juga berkenan menerima sumbangan zakat pelajar menerusi Program Iqra’ TH IPTA 2024 berjumlah RM800,000 daripada Tabung Haji yang dipersembahkan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

Selain itu, UPM turut menerima sumbangan zakat wakalah daripada Bank Islam berjumlah RM30,000, Takaful Ikhlas berjumlah RM15,000 serta RM10,000 dana infak khusus kepada pelajar UPM daripada Badan Kebajikan Mutiara Putrajaya.

Sultan Selangor kemudiannya menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama rakyat jelata.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan