EKONOMI

GAGASAN NADI UNIT RAIH KONTRAK RM134.41 JUTA DI BANDAR ELMINA, SELANGOR

19/03/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Nadi Emery Sdn Bhd (NESB) yang juga unit Gagasan Nadi Cergas Bhd, berjaya memperoleh kontrak bernilai RM134.41 juta daripada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).

Kontrak itu membabitkan pembelian secara kolektif atau “en-bloc” 523 unit Rumah Idaman di bawah Projek Rumah Idaman di Elmina 5, Bandar Elmina (Jenis E), Sungai Buloh di Selangor.

Nadi Emery merupakan anak syarikat dengan kepentingan 75 peratus oleh Nadi Cergas Development Sdn Bhd yang dimiliki oleh Gagasan Nadi dengan pegangan sebanyak 70 peratus.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu berkata projek itu melibatkan reka bentuk dan binaan mengikut keperluan bagi “Skim Smart Sewa”  LPHS membabitkan 523 unit perumahan kediaman mampu milik dengan kelengkapan rekreasi dan kemudahan di kawasan pembangunan.

"Pembelian ‘en-bloc’ oleh LPHS ini adalah bagi keseluruhan Elmina 5 (seluas 1.76 hektar) bagi Rumah Idaman berkenaan dengan setiap satunya berkeluasan 1,000 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi selain kipas siling, lampu, kabinet dapur, pemanas air di kedua-dua bilik mandi selain dua ruang tempat letak kereta," katanya.

Pembinaan projek itu akan bermula pada suku ketiga 2025 dan dijangka siap pada 2028, kata syarikat itu.

Projek itu adalah sebahagian daripada keseluruhan pembangunan oleh NESB di Bandar Elmina yang turut merangkumi Elmina 4 dengan keluasan 3.59 hektar dan Elmina 12 (5.23 hektar).

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Datuk Wan Azman Wan Kamal berkata projek berkenaan adalah yang kedua dilaksanakan oleh kumpulan itu di Bandar Elmina selepas projek 1,000 unit perumahan mampu milik Idaman Amani di Elmina 4.

Beliau berkata perumahan itu akan menjadi tambahan penting kepada Bandar Elmina yang juga sebuah perbandaran mega di Shah Alam yang mengandungi zon perumahan, komersial serta industri.

“Secara keseluruhannya, segmen pembangunan hartanah kumpulan sedang membangunkan 7,500 rumah mampu milik di Bandar Elmina, Kwasa Damansara dan Bukit Jelutong dengan nilai pembangunan kasarnya RM1.9 bilion,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan