IPOH, 19 Mac (Bernama) -- Dua pekerja cedera selepas terjatuh daripada kren yang patah ketika menebang pokok di Kampung Teluk Batik, Seri Manjung hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.22 petang, sebelum 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian terdapat sebuah kren telah tumbang ke atas sebuah pondok rehat dan kedua-dua mangsa dikatakan telah jatuh daripada ketinggian 12 meter.
“Seorang mangsa lelaki warga tempatan berusia lingkungan 60-an mengalami patah di kedua-dua kakinya, patah tangan kiri dan pinggang, manakala seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 50-an patah tangan kiri dan kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak bomba telah membantu memberikan rawatan awal kepada mangsa dan kemudian telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA