KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Semua pihak termasuk masyarakat dan pemimpin politik diingatkan untuk berhenti memainkan isu perkauman dan agama, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan agama yang dilihatnya kerap dilontarkan pihak tidak bertanggungjawab sejak kebelakangan ini.
“Semuanya dihasut oleh sentimen perkauman, tengok komen-komen (di media sosial) bukan sahaja daripada masyarakat biasa malah pemimpin politik pun sama. Jangan tunggang isu agama dan isu perkauman.
“Tak ada modal lain ke nak bercakap?… ini pendapat peribadi saya, beberapa hari ini ada pemimpin pembangkang (memainkan) isu melibatkan sama ada Perdana Menteri boleh kekal 10 tahun, dua penggal atau tidak, ada yang kata ini salah dari segi agama.
“Ini betul-betul kegilaan apa? Semua nak kaitkan dengan agama dan kaum. Saya cukup marah dengan isu ini, jadi tolonglah, itu perlu dihentikan,” katanya selepas melawat Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, yang terletak berhampiran Jalan Masjid India, di sini hari ini.
Merujuk kepada isu perpindahan kuil berkenaan, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata pihak kerajaan tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan menggunakan perkataan merobohkan, sebaliknya perkataan yang digunakan adalah mengalihkan dan memindahkan rumah ibadat berkenaan.
Justeru beliau mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam penggunaan perkataan yang boleh menyakitkan hati pihak-pihak tertentu.
Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa kerajaan MADANI tidak akan merobohkan struktur kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, malah perkara itu telah dibincangkan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya boleh bagi jaminan di sini, nasib semua kaum akan terbela secara adil. Kita akan berlaku adil terhadap semua kaum dalam isu ini, khususnya komuniti India.
“… isunya ini adalah tanah (milik) swasta tetapi kerajaan masih lagi akan mengambil berat hal ini. Perdana Menteri pun ada bincang dengan saya, beliau sangat mengambil berat atas isu ini dan beliau pun nak cari satu jalan penyelesaian yang baik, adil dan juga harmoni,” katanya.
-- BERNAMA