KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merekodkan lebihan operasi bersih RM20.70 juta pada 2024, pulih daripada defisit operasi bersih RM56.46 juta yang dicatatkan setahun sebelumnya, menurut Laporan Tahunan SC 2024 yang dikeluarkan hari ini.
SC dalam penyata kewangannya untuk 2024 mencatatkan lebihan RM14 juta selepas cukai tahun lepas, berbanding defisit RM71.30 juta yang dicatatkan pada 2023.
Laporan itu menyatakan bahawa hasil SC diperoleh terutamanya daripada levi, yuran dan caj serta pendapatan kewangan, merekodkan nilai lebih tinggi sebanyak RM300.39 juta pada 2024, meningkat daripada RM209.91 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Pendapatan lain badan berkanun yang dibiayai sendiri, termasuk penalti, pemulihan kos siasatan dan prosiding serta jumlah baki, telah meningkat dengan ketara kepada RM19.71 juta pada 2024 berbanding RM5.89 juta pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, perbelanjaan suruhanjaya itu pada 2024 juga meningkat kepada RM279.70 juta berbanding RM266.36 juta pada 2023, terutamanya disebabkan oleh kos kakitangan dan perbelanjaan pentadbiran.
Mengenai pelaburan, SC berkata ia telah melabur RM300 juta dalam mandat budi bicara yang diuruskan oleh pengurus dana luar yang bersifat jangka sederhana dan panjang sepanjang tahun kewangan 2024.
“Pada tahun kewangan sebelumnya, SC telah melabur dalam unit amanah disebut harga berjumlah RM150 juta yang diklasifikasikan sebagai pelaburan jangka sederhana dan jangka panjang.
"Termasuk dalam deposit yang diletakkan dengan bank berlesen adalah jumlah yang dikhaskan untuk merancang dan melaksanakan program pembinaan kapasiti berhubung dengan profesion perakaunan dan pengauditan sebanyak RM1.9 juta (2023: RM3.1 juta)," katanya.
-- BERNAMA