EKONOMI

RMK-13 TERUSKAN DASAR BERSEPADU, FOKUS INDUSTRI HGHV - RAFIZI

20/03/2025 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Ekonomi akan memastikan dasar bersepadu dan bersesuaian yang memberi tumpuan kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) diteruskan dalam penyediaan Dokumen Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata ini bertujuan untuk melonjakkan ekonomi negara ke arah rantaian yang lebih tinggi dan kompleks.

Beliau berkata RMK-13 yang sedang dimuktamadkan akan memastikan kerajaan dapat mencapai sasaran untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu atau dua sumber pendapatan sahaja.

Menurutnya, dokumen itu akan memberi tumpuan kepada seperti industri HGHV peralihan tenaga, teknologi dan digital, elektrik dan elektronik (E&E) bernilai tinggi, nadir bumi, serta pertanian dan industri asas tani moden.

“Industri baharu ini akan memberi keanjalan kepada kerajaan untuk memilih cara yang terbaik supaya kita secara berterusan dapat mengimbangkan keperluan fiskal negara dan juga untuk mengurangkan beban percukaian kepada rakyat,” katanya semasa waktu pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai industri baharu yang sedang diteroka kerajaan untuk dijadikan sumber perolehan negara.

Selain itu, Rafizi berkata penekanan turut diberi untuk mempercepat pertumbuhan dalam sektor strategik termasuk aeroangkasa, E&E, farmasutikal, peranti perubatan, kenderaan elektrik, industri kreatif, pelancongan, perkhidmatan global, perkhidmatan halal dan biojisim dijangka akan menjana pelaburan baharu.

“Tumpuan akan diberi untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan berasaskan teknologi termaju dalam industri HGHV ini bagi menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan yang kompleks,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lim Pay Hen yang ingin tahu adakah industri nadir bumi mampu menjana ekonomi negara dalam tempoh 10 tahun, Rafizi berkata kerajaan dalam perancangan membangunkan kilang pemprosesan sumber nadir bumi di negara ini. 

“Kita boleh menggunakan unsur nadir bumi yang telah dipisahkan untuk menjadi bahan akhir kepada penggunaan dalam sektor E&E dan itu akan berjaya menarik pelaburan baharu dalam sektor strategik seperti semikonduktor, kenderaan elektrik dan lain-lain.

“Kita nak menggunakan hasil sumber itu supaya dapat dikekalkan di dalam negara ini selama yang mungkin dan hasilnya bukan sahaja dengan menjual mineral itu tetapi menggunakannya sebagai satu pelaris untuk membawa masuk seberapa banyak pelaburan berteknologi tinggi di negara ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan