KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025, antaranya bertujuan memastikan keberkesanan institusi itu menjalankan fungsinya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan beberapa Ahli Dewan Negara.
Ketika menggulung perbahasan RUU itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 mengandungi 15 fasal berbanding hanya lapan fasal dalam Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.
Azalina berkata fasal yang sangat penting dalam RUU ini ialah Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) di bawah Fasal 10 yang boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa sebagaimana difikirkan perlu atau sesuai untuk membantu MPP melaksanakan fungsinya.
“Maknanya, ini bukan hanya terikat pada satu jawatankuasa sahaja seperti disebutkan dalam Fasal 9 berkenaan Jawatankuasa Rayuan, Jawatankuasa Perkhidmatan Tatatertib (Fasal 8) dan kenaikan pangkat dalam Fasal 7,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.
Terdahulu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 selepas Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan pada 1992.
Persidangan Dewan Negara bersambung pada Isnin, 24 Mac.
-- BERNAMA