BINTULU, 20 Mac (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 300 penghuni rumah panjang di Sungai Sinai, Ulu Sebauh, kira-kira 34 kilometer dari sini hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran pagi ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata kebakaran berkenaan melibatkan 27 daripada 30 pintu rumah panjang struktur tidak kekal.
“Bomba menerima panggilan kecemasan kebakaran di Rumah Panjang Lapie pada 11.09 pagi dan pasukan keluaran operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu yang dikerahkan ke lokasi kejadian, tiba pada 11.45 pagi.
“Seorang penghuni lelaki berusia lingkungan 70-an mengalami sesak nafas dan dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Penghuni lain dilaporkan selamat dan tiada kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi pemadaman dilakukan menggunakan sumber air terbuka serta bantuan air daripada tangki kenderaan bomba sehingga api berjaya dikawal pada 11.50 pagi.
Punca dan anggaran kerugian kebakaran sedang disiasat.
-- BERNAMA