AM

FAMA TINGKAT HINGGA 40 PERATUS BEKALAN KELAPA, TAMPUNG KEPERLUAN MENJELANG AIDILFITRI

20/03/2025 05:00 PM

GEORGE TOWN, 20 Mac (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) meningkatkan bekalan kelapa antara 30 hingga 40 peratus daripada yang sedia ada bagi menampung permintaan tinggi menjelang Aidilfitri.

Ketua Pengarahnya Abdul Rashid Bahari berkata usaha itu, antara langkah proaktif FAMA dalam memastikan kecukupan bekalan untuk kegunaan domestik pada musim perayaan.

“Bekalan (kelapa) makin stabil, harga pun nampak menurun sedikit antara lima hingga 10 peratus. Walaupun (harga) tak nampak satu penurunan yang tinggi tapi yang penting adalah bekalan stabil. 

“... walaupun dalam keadaan bekalan yang agak ketat buat masa ini di peringkat dunia, tapi kita masih mendapat bekalan dan ia memadai bagi menampung keperluan Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Agrofiesta Aidilfitri 2025 di sini hari ini, dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol.

Abdul Rashid berkata bekalan kelapa diperoleh dari Sabah dan Sarawak selain turut mengimport dari Indonesia. 

“Import ada dua keadaan iaitu FAMA sendiri bersama anak syarikat dan usahawan pengimport sedia ada. Satu lagi pengimport yang terdiri daripada pengilang yang menghasilkan produk kelapa dalam bentuk kelapa parut, kelapa serbuk dan peket.

“Meskipun Indonesia dan Malaysia sama-sama tinggi permintaan (kelapa), tetapi terima kasih kerana atas kerjasama dua negara dan juga pengimport yang telah lama, kita masih boleh dapatkan bekalan yang stabil,” katanya.

Beliau berkata FAMA juga menawarkan promosi potongan harga istimewa bagi santan serta jualan bahan mentah pada harga murah di 42 pasar tani khas pra-Aidilfitri bermula 29 Mac ini, dengan pelancaran peringkat nasional akan disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata FAMA menyasarkan RM1 juta jualan bersempena Agrofiesta Aidilfitri 2025 yang berlangsung selama sebulan bermula 28 Feb hingga 30 Mac. 

Ini tahun kesembilan penganjuran yang diadakan di dua pusat beli-belah di Pulau Pinang, melibatkan penyertaan seramai 40 usahawan dari negeri ini bagi mempromosikan produk industri makanan terdiri kuih-muih tradisional, biskut moden dan keperluan Aidilfitri.

Selain itu, turut diadakan penyerahan Geran Agrobazaar K-Shoppe dan Bantuan Pembaikan Imej dan Pembungkusan Produk berjumlah RM95,000 kepada 13 usahawan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan