KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan Masjid Kampung Klang Gate Baru di sini serta berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 penduduk sekitar Gombak sempena Majlis Ihya Ramadan Sultan Selangor bersama Rakyat.
Masjid di kawasan seluas 0.8 hektar itu telah siap dibina pada 2021 dengan kos RM19.5 juta serta mampu memuatkan hingga 2,000 jemaah.
Turut berangkat pada majlis itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada asnaf daerah Gombak yang terdiri daripada 110 asnaf fakir, 317 asnaf miskin dan 65 mualaf dengan keseluruhan sumbangan berjumlah RM246,000.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM4.18 juta daripada Lembaga Jurukur Tanah Malaysia, Jakel Shah Alam dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Baginda kemudian menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.
-- BERNAMA