EKONOMI

ECO WORLD CATAT UNTUNG BERSIH RM80.34 JUTA PADA SUKU PERTAMA

20/03/2025 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM80.34 juta pada suku pertama berakhir 31 Jan 2025 daripada RM69.63 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan bagi suku tahunan yang dikaji meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus kepada RM539.63 juta daripada RM537.79 juta pada suku sebelumnya.

Peningkatan perolehan itu adalah berikutan sumbangan lebih tinggi daripada fasa aktif dan fasa baharu, melebihi sumbangan yang lebih rendah daripada fasa hampir siap.

“Projek utama yang menyumbang kepada perolehan dan keuntungan kasar pada suku pertama 2025 adalah Eco Botanic, Eco Botanic 2, Eco Spring, Eco Tropics, Eco Business Park I dan Eco Business Park III di Iskandar Malaysia, dan Eco Majestic, Eco Forest dan Eco Sanctuary di Lembah Klang,” kata Eco World.

Kumpulan itu turut mengisytiharkan dividen interim pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Okt 2025, sebanyak satu sen sesaham yang akan dibayar pada 22 April 2025.

Sementara itu, kumpulan berkenaan dan Eco World International Bhd menamatkan usaha sama dan menjadi syarikat bersekutu berkuat kuasa 10 Mei 2024 selepas selesai perjanjian pemegang saham yang dimeterai antara GuocoLand Ltd dan pihak lain termasuk Eco World.

Secara keseluruhan, usaha sama berkenaan merekodkan jumlah perolehan RM399.3 juta pada suku pertama 2025, dengan bahagian sebenar kumpulan, berdasarkan pegangan ekuitinya dalam usaha sama itu berjumlah RM145.7 juta.

“Hasil yang diperoleh kumpulan ini daripada usaha sama berkenaan disumbangkan terutamanya daripada Eco Grandeur, Eco Business Park V, Eco Ardence, Bukit Bintang City Centre dan Eco Horizon.

“Sumbangan keseluruhan pada suku pertama 2025 hampir sama dengan jumlah pada suku pertama 2024,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Malaysia Datuk Chang Khim Wah berkata kumpulan itu menerima rangsangan yang memberangsangkan berikutan penandatanganan perjanjian bersama-sama Pearl Computing untuk membina dan menyewa kerangka utama pusat data serta struktur berkaitan pada tanah berkeluasan 37.41 hektar di Eco Business Park V.

"Ini akan menyumbang kepada hasil sewaan tetap yang tinggi kepada kumpulan untuk menyokong aspirasi pendapatan berulangnya," katanya.

Chang berkata dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, Eco World berhasrat untuk terus membangunkan portfolio aset ini.

Kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada pendapatan pada masa akan datang pada akhirnya akan diperoleh daripada sumber pendapatan berulang sekali gus memberikan kestabilan pendapatan yang lebih baik dan aliran tunai meyakinkan pada masa depan, katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan