KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Semenanjung Gaza telah berkurangan 50 peratus sejak Israel melancarkan serangan udara baru-baru ini, menurut Islamic Relief Malaysia (IRM).
Ketua Pegawai Eksekutif IRM Siti Fadilah Mohd Hood berkata pihaknya khuatir penurunan drastik itu boleh menyebabkan bekalan makanan dan perubatan terputus, sekali gus memberi kesan yang lebih buruk kepada penduduk Gaza.
“Terkini pada 15 Mac lepas mereka masih lagi mengagihkan makanan panas yang dimasak kepada penduduk Gaza, cuma kita memang khuatir dalam masa beberapa hari lagi bekalan akan habis terus terutamanya bekalan air bersih.
“Difahamkan harga bekalan makanan melonjak tinggi dan bekalan perubatan juga antara yang terkesan,” katanya kepada Bernama selepas menyerahkan sumbangan juadah berbuka puasa sempena program My Singgah Ramadan Media anjuran IRM di Wisma Bernama, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus dan Eksekutif Editor Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Haikal Mohd Isa.
Siti Fadilah berkata IRM turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu yang dilancarkan rejim zionis di Gaza sehingga mengorbankan ratusan nyawa dan perbuatan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata IRM senada dengan kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabatnya di Birmingham yang menggesa pemimpin dunia untuk menggunakan segala kuasa yang ada bagi mendesak Israel menghentikan serangan dan membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk dengan kadar segera.
“Kita rasa itu satu tindakan yang sangat melampaui di pihak Israel, dan pada masa yang sama kita juga amat kecewa kerana sekutunya seolah-olah menerima tindakan yang dilakukan oleh negara itu,” katanya.
Agensi berita Anadolu Ajansi melaporkan Selasa lepas tentera Israel mengesahkan pihaknya telah melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Jan, mengorbankan 436 nyawa manakala lebih 670 lagi cedera.
-- BERNAMA