KLUANG, 21 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kelonggaran kepada pelajar yang terjejas banjir untuk tidak memakai seragam sekolah, susulan kebanyakannya tidak membawa pakaian itu ke sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kelonggaran itu diberi bagi memastikan kehadiran pelajar ke sekolah dan mereka dapat mengikuti sesi pembelajaran yang ditetapkan, sekali gus tidak membebankan ibu bapa,
Beliau berkata kelonggaran itu turut diberikan kepada pelajar yang tidak terjejas banjir, namun tidak dapat menyediakan pakaian seragam sekolah kerana tidak kering berikutan hujan lebat tanpa henti sejak beberapa hari lepas.
“Sewaktu diadakan (beroperasinya) pusat PPS di sini, ada anak-anak yang tidak mengenakan pakaian seragam kerana mereka tidak sempat bawa semasa diarah berpindah.
“Kita turut memberikan kelonggaran kepada pelajar yang tidak dapat sediakan pakaian seragam (basah) setelah hujan berterusan tetapi perlulah mengenakan pakaian yang sopan dan bersesuaian,” katanya kepada pemberita semasa meninjau PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kencana, Simpang Renggam di sini hari ini.
Fadhlina berkata pihak kementerian juga mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) memantau guru-guru yang mengajar dan mereka yang tinggal di kawasan terjejas banjir.
“Semalam, pihak kami ada menerima aduan berkaitan beberapa pengajar terkandas di sekolah setelah banjir berlaku dan KPM mengambil langkah sewajarnya, dan pemantauan akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata hujan lebat sejak beberapa hari lepas menyebabkan tujuh sekolah di Johor ditutup hari ini (Jumaat) melibatkan daerah Johor Bahru (tiga) Kota Tinggi (tiga) dan Pasir Gudang (satu), manakala 47 sekolah dijadikan PPS.
“Setakat ini bilangan murid dan pelajar yang dilaporkan berada di PPS di Johor seramai 886 orang, manakala daerah Pontian merekodkan jumlah tertinggi sekolah dijadikan PPS iaitu 13 sekolah,” katanya.
-- BERNAMA