EKONOMI

NESTLE MALAYSIA, RAKAN NIAGA TEMPATAN LABUR RM250 JUTA BINA HAB LOGISTIK BAHARU

21/03/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Nestlé Malaysia dan rakan niaga tempatannya, Malconrep Depot (M) Sdn Bhd, telah bersama-sama melabur sebanyak RM250 juta untuk membina hab logistik bersepadu di Pelabuhan Klang, yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2026 (S1 2026).

Dalam satu kenyataan hari ini, Nestlé Malaysia berkata hab itu akan berfungsi sebagai pusat logistik serantau, memudahkan eksport produknya ke lebih 60 negara serta mendapatkan bahan mentah yang diimport.

Nestlé Malaysia menyifatkan projek itu sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk meningkatkan kecekapan dan kelestarian rantaian bekalan sambil menyokong ekonomi tempatan melalui penciptaan pekerjaan dan pembangunan infrastruktur.

"Pelaburan ini juga mencerminkan keyakinan Nestlé Malaysia tentang prospek masa depannya, sejajar dengan unjuran awal syarikat untuk kembali mencatatkan pertumbuhan mantap menjelang separuh pertama 2025.

"Hab ini merangkumi sebuah gudang moden dan ruang laman kontena, memanfaatkan skala ekonomi dan pendigitalan untuk mengoptimumkan operasi serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada kumpulan pelanggan kami yang semakin luas," kata syarikat itu.

Hab logistik baharu itu juga akan menggabungkan teknologi canggih dan inovasi mampan, sambil memainkan peranan untuk mengurangkan kesan alam sekitar operasi logistik Nestlé.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia Juan Aranols berkata pelaburan itu menandakan satu langkah penting untuk syarikat dan mengukuhkan komitmen jangka panjangnya terhadap pasaran Malaysia.

"Pelaburan ini bakal membentuk masa depan logistik di Malaysia sambil menyokong pertumbuhan di masa depan. Pada masa yang sama, ia menekankan komitmen kami untuk melabur di negara ini," katanya.

Hab itu dijangka mencipta lebih 200 pekerjaan baharu, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang logistik.

"Pada dekad yang akan datang, kami membayangkan Pelabuhan Klang sebagai sebuah hab eksport berpusat bagi Nestlé Malaysia, menetapkan penanda aras baharu dari segi kecekapan dan kelestarian sambil meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan kami untuk bersedia menghadapi masa depan," kata Aranols.

Bagi menjayakan pelaburan penting itu, Nestlé Malaysia bekerjasama dengan Malconrep Depot (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat logistik tempatan yang telah menjadi rakan kerjasama yang dipercayai sejak 2016.

Pengarah Urusan Malconrep Chan Sway Wah berkata keyakinan yang ditunjukkan oleh Nestlé Malaysia terhadap syarikat itu membolehkan pelaksanaan rancangan jangka panjang dan membuat pelaburan dalam infrastruktur gudang pintar serta ekosistem logistik yang lebih cekap dan masra alam.

"Malconrep telah berkembang maju bersama Nestlé, menunjukkan tahap kecekapan dan potensi perniagaan tempatan di Malaysia untuk meluaskan operasi dan bersaing di peringkat global," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan