AM

UTP SAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA ANAK YATIM, ASNAF

21/03/2025 09:53 PM

SERI ISKANDAR, 21 Mac (Bernama) -- Sebanyak 68 anak yatim dan asnaf menerima sumbangan daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan kerjasama Yayasan Petronas serta Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita Petronas (PETRONITA) Perak hari ini.

Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata UTP sememangnya cakna tentang kebajikan komuniti di sekitar Seri Iskandar dengan menghulurkan pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan terutamanya menjelang musim perayaan. 

“Kami amat berterima kasih kepada semua kakitangan di UTP yang memberi sumbangan termasuk daripada Jawatankuasa Kariah Masjid An-Nur UTP,” katanya ketika berucap pada UTP Iftar dan Program Memacu Kehidupan Aidilfitri 2025 dan PETRONITA We Care We Share di Masjid An-Nur di sini.

Pada majlis itu, 68 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Warga Miskin Bait Al-Amin serta Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, kedua-duanya dari Parit di sini serta Persatuan Kebajikan Cahaya Kasih Kinta, Ipoh menerima sumbangan itu.

Turut menerima sumbangan duit raya adalah 20 orang daripada golongan asnaf dari beberapa kawasan antaranya Tronoh, Kampung Bali, Taman Maju serta Bandar Seri Iskandar dekat sini.

 

 

Sumbangan itu diterima hasil pemberian kakitangan universiti, alumni, pelbagai organisasi serta orang awam, manakala Yayasan Petronas turut menaja pek makanan berupa barang keperluan asas untuk anak-anak yatim berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Ibrahim berkata UTP menganjurkan Majlis Iftar setiap tahun yang dihadiri bukan sahaja warga UTP, bahkan masyarakat setempat. 

“Kami amat berbesar hati untuk menganjurkan majlis ini yang masih lagi berpaksikan objektif sama iaitu meraikan semangat Ramadan dengan komuniti UTP. Pada masa sama, kita berkongsi semangat ini bersama-sama dengan masyarakat setempat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan