SHAH ALAM, 21 Mac (Bernama) -- Yayasan Amal Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) menyantuni kira-kira 200 pekerja dan kakitangan sektor pembersihan menerusi penganjuran Majlis Santunan Ramadan, hari ini.
Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir berkata program yang dianjurkan secara bersama dan ditaja oleh Iltizam Ekuinas itu bukan sekadar untuk kebajikan tetapi merupakan penghargaan kepada barisan hadapan kebersihan negara.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Yayasan Amal ASAS dan pihak berkaitan kerana bersama-sama kita menyantuni kumpulan pekerja yang sebenarnya adalah tulang belakang dalam kerja-kerja pembersihan dan kutipan sampah di Selangor.
"Di Selangor, kita mempunyai hampir 10,000 orang pekerja yang melaksanakan tugas meliputi sekitar 2.5 juta unit rumah, termasuk strata dan komersial dengan keadaan hampir 7.2 juta penduduk. Ini menjadikan tugas mereka satu cabaran besar untuk memastikan Selangor bersih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santunan Ramadan yang diadakan di pekarangan KDEB ICI Sdn Bhd di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal ASAS Ghazali Bujang dan Pengurus Komunikasi Korporat Ekuinas, Nolly Ismail.
Majlis itu menghimpunkan 100 pekerja, termasuk 60 kakitangan KDEB ICI yang terdiri daripada pemandu, atendan, pemandu jetter, operator, tukang kimpal dan mekanik. Selain itu, turut hadir 40 pekerja dari KDEBWM cawangan Shah Alam, merangkumi pemandu lori dan kelindan.
Sebagai menghargai jasa pekerja pembersihan berkenaan, program hari ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan dan duit raya yang ditaja oleh Iltizam Ekuinas serta Yayasan Amal ASAS.
-- BERNAMA