JENAYAH & MAHKAMAH

KAPAL BUATAN TURKIYE BERNILAI USD68.8 JUTA BAKAL JADI ASET BAHARU NEGARA - APMM

22/03/2025 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh keselamatan perairan negara dengan perolehan sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) buatan Turkiye bernilai USD68.8 juta (RM304.29 juta) untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 

APMM dalam kenyataan berkata Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan kapal itu ditandantangani Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman bagi pihak Malaysia, manakala Turkiye diwakili Pengerusi Lembaga Desan Shipyard Cenk Ismail Kaptanoglu di Desan Shipyard, Turkiye semalam. 

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah yang turut hadir pada majlis menandatangani SST itu berkata kapal tersebut dilengkapi teknologi canggih dan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.

“Kapal sepanjang 99 meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang. 

“Ia juga dilengkapi empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikoper, fasiliti perubatan serta pusat tahanan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Desan Shipyard, syarikat bertanggungjawab membina kapal tersebut ditubuhkan pada tahun 1970 dan merupakan antara penyedia penyelesaian limbungan kapal Turkiye yang terkenal.

Syarikat itu terlibat dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan limbungan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal, pembinaan kapal dan aktiviti berkaitan perkapalan.

APMM berkata majlis pemeteraian perjanjian itu adalah sebahagian daripada rentetan sesi pertukaran dokumen rasmi disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan ketika lawatan rasmi pemimpin Turkiye itu ke negara pada 11 Feb lepas. 

Sementara itu Awang Alik dalam kenyataan sama berkata perolehan kapal itu adalah langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan perairan negara selain mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan dan industri pembinaan kapal. 

“Kapal MPMS ini akan menjadi aset penting dalam mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Kerjasama ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, termasuk pencerobohan kapal asing dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan