ALOR SETAR, 19 Mac (Bernama) -- Mayat seorang kru bot nelayan tempatan yang dipercayai terjatuh di perairan Pulau Segantang dekat Langkawi pada Ahad lepas telah ditemukan hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata mayat Musliandee Mustafa Kamal, 45, dijumpai pada 4.25 petang tadi.
"Terdapat maklumat mengenai penemuan satu mayat yang terapung di 3.8 batu nautika tenggara Pulau Ajar. Bot KILAT 6 yang dikerahkan ke lokasi telah menjumpai dan membawa naik mayat berkenaan ke atas bot.
"Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan polis telah mengesahkan mayat yang ditemukan itu sama seperti mangsa yang dilaporkan terjatuh dari bot nelayan, Ahad lalu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau berkata operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan sepenuhnya pada 5.35 petang.
-- BERNAMA