KOTA KINABALU, 23 Mac (Bernama) -- Sabah Electricity berusaha meningkatkan perkhidmatan elektrik di seluruh Sabah, termasuk di kawasan mencabar di Beluran dan Telupid, kata Pengerusinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Beliau berkata pelbagai tindakan diambil dalam usaha meminimumkan gangguan bekalan elektrik di kedua-dua kawasan berkenaan.
Madius berkata gangguan bekalan di Beluran serta Telupid pada 27 dan 28 Feb lepas yang memberi kesan terutamanya di kawasan Lung Manis dan Sapi Nangoh, berpunca daripada kegagalan beberapa kabel pada talian penghantaran 33kV Segaliud-Beluran.
“Satu daripada punca utama gangguan elektrik di Telupid dan Beluran adalah kerana penggunaan kabel All-Aluminum Conductor (AAC) yang tidak berpenebat untuk penghantaran elektrik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun kabel udara terbuka ini biasa digunakan pada masa lalu, ia lebih mudah terdedah, terutama di kawasan berhutan tebal serta berbukit, dan mudah rosak, misalnya akibat dahan pokok yang tumbang, akibat angin kencang atau hujan lebat, sehingga menyebabkan berlaku gangguan bekalan.
Madius berkata sebagai penyelesaian, kabel itu perlu beralih kepada penggunaan Aerial Bundled Cables (ABC), iaitu kabel berpenebat yang direka untuk mengurangkan gangguan akibat sentuhan dahan pokok dengan talian elektrik, namun proses berkenaan bukan mudah kerana perkara itu memerlukan dana serta logistik besar.
Beliau berkata peratusan talian elektrik yang telah dinaik taraf di kedua-dua daerah masih rendah, masing-masing 45 peratus di Telupid dan 28 peratus di Beluran, berbanding Tambunan yang kadar peningkatan mencapai 63 peratus dengan gangguan bekalan hanya sekitar 60 minit setahun.
"Sabah Electricity secara berperingkat telah menaik taraf rangkaian kabel yang tidak berpenebat, setakat tahun 2024, sekitar 4,937 kilometer (54 peratus) kabel ABC telah dipasang, namun dengan kadar peningkatan hanya 100 kilometer setahun, keseluruhan proses ini boleh mengambil masa 30 tahun untuk disiapkan dengan anggaran kos RM997 juta.
"Mendapatkan dana tambahan bukan sekadar satu keperluan, tetapi satu keutamaan, pelan semasa untuk menaik taraf 230 kilometer kabel elektrik antara 2025 hingga 2027 dianggarkan menelan kos sekitar RM70 juta, namun masih menunggu kelulusan akhir daripada pihak berkuasa berkaitan," katanya lagi.
-- BERNAMA