KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara berterusan melaksanakan usaha memulihkan bekalan elektrik di Johor, termasuk kawasan seperti Kangkar Tebrau yang terjejas akibat banjir.
Dalam satu kenyataan hari ini, TNB menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan komuniti yang terjejas.
“TNB mengutamakan pemeriksaan menyeluruh, pembersihan dan ujian terhadap semua infrastruktur elektrik yang terjejas akibat banjir, bagi memastikan pemulihan bekalan elektrik dapat dilakukan dengan selamat. Pasukan teknikal kami bekerja tanpa henti di lapangan bagi mempercepatkan proses pemulihan.
“Penyelesaian alternatif, termasuk bekalan kuasa sementara turut disediakan di kawasan yang memerlukan, bagi menyokong perkhidmatan kritikal dan keperluan penting. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui TNB Careline dan saluran media sosial rasmi TNB,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan TNB itu, sehingga jam 8 pagi semalam, 86 peratus kawasan yang terjejas di Johor telahpun mendapat bekalan elektrik semula.
“Sebahagian besar kawasan yang terjejas telah mendapat bekalan elektrik kembali dan usaha pemulihan masih diteruskan untuk mencapai pemulihan penuh secepat mungkin. TNB Careline menyediakan kemas kini status setiap jam mengenai perkembangan terkini di Facebook TNBCareline,” menurut kenyataan itu.
TNB juga menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan semasa mengendalikan peralatan elektrik selepas banjir. Untuk panduan keselamatan, orang ramai boleh merujuk kepada tip keselamatan banjir TNB di www.tnb.com.my/floodsafetytips.
TNB turut amat menghargai dedikasi pasukan teknikalnya yang bekerja tanpa henti, termasuk sepanjang bulan Ramadan bagi memberikan sokongan kepada komuniti yang terjejas.
-- BERNAMA