TUARAN, 22 Mac (Bernama) -- Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menjadi penunjuk yang mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kebolehan dan kemampuan pimpinan negara.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata semenjak menerajui kepimpinan negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya meletakkan kembali kedudukan Malaysia di persada dunia.
“Semua ini adalah indikator yang menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat di bawah kepimpinan Anwar.
“Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan. Selain itu, pertumbuhan ekonomi negara juga amat menggalakkan, para pelabur asing berduyun-duyun datang untuk membawa pelaburan yang bernilai ratusan bilion ringgit," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri di Padang Istiadat di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Anwar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ketua Menteri berkata Anwar juga sering diundang ke pelbagai majlis forum antarabangsa untuk menyampaikan pandangan negara berhubung isu-isu berkaitan kepentingan komuniti antarabangsa.
Beliau berkata ia sebagai tanda semangat toleransi yang tinggi dan perpaduan yang jitu, kekal sebagai kunci kepada kesatuan dan kekuatan masyarakat di negara ini untuk terus menikmati kehidupan dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri terus memperhebat program membela golongan miskin antaranya pemberian bantuan bulanan RM300 seorang selama setahun melibatkan 100,000 penerima.
Turut dilaksanakan katanya pemberian 3,000 rumah menerusi program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya kepada golongan miskin tegar, inisiatif memberikan pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) serta bantuan subsidi tiket kapal terbang RM600 kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Beliau berkata pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing juga diberi RM300 seorang selain peruntukan bagi biasiswa ditambah daripada RM50 juta kepada RM128 juta tahun ini.
"Tahun lalu kerajaan negeri telah membelanjakan sekitar RM470 juta untuk pembangunan modal insan dan pendidikan," tambahnya.
-- BERNAMA