AM

AIDILFITRI: LAKSANA LANGKAH AWAL PASTIKAN TIKET PENERBANGAN SABAH TIDAK JADI BEBANAN

23/03/2025 02:30 PM

KOTA KINABALU, 23 Mac (Bernama) -- Penduduk Sabah di sini memohon kepada semua pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pelbagai langkah awal, supaya isu harga tiket penerbangan melambung ketika Aidilfitri tidak berulang seperti tahun-tahun sebelum ini.

Namun, tanggungjawab itu tidak boleh disandarkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya syarikat penerbangan perlu memainkan peranan besar, serta syarikat swasta terutama berkaitan kerajaan (GLC) boleh turut membantu bagi memudahkan rakyat pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Presiden Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani berpendapat semua langkah itu termasuk intervensi dan subsidi, serta langkah promosi wajar dimulakan seminggu lebih awal daripada tarikh Aidilfitri tahun ini, bagi memudahkan rakyat mendapatkan tiket masing-masing dengan harga lebih rendah.

“Subsidi yang diberikan kerajaan serta promosi yang dilakukan syarikat penerbangan adalah langkah tepat bagi mengatasi masalah ini, tetapi ia selalunya dilakukan sekitar tiga hari sebelum musim perayaan ketika waktu puncak.

“Perlu panjangkan masa itu sehingga seminggu bagi beri lebih banyak pilihan tarikh untuk rakyat dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak ketika hampir Aidilfitri nanti,” katanya kepada Bernama.

Nordin berkata bagi mengatasi waktu puncak itu juga Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat penerbangan, diminta mencari jalan bagi menambah kapasiti penerbangan pada Aidilfitri bagi memenuhi permintaan penduduk di sini.

Beliau juga memberikan cadangan supaya syarikat penerbangan menyediakan penerbangan dengan promosi khas balik kampung pada Aidilfitri serta perayaan bagi penerbangan khas dibuat luar daripada waktu puncak.

“Kita faham kos waktu puncak itu tinggi, maka saya saran pilih penerbangan seperti lewat malam atau awal pagi luar waktu puncak, kemudian promosikan penerbangan ini untuk penduduk balik kampung dengan tiket murah. Ramai orang Sabah akan ambil promosi ini dan tiket akan habis cepat,” katanya.

Pada 25 Feb, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata kementerian itu akan meneruskan inisiatif subsidi tambang siling RM499 bagi tiket penerbangan sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena sambutan Aidilfitri ini.

Pengerusi Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah David Chan menyifatkan inisiatif pengurangan harga tambang penerbangan sempena Aidilfitri, sebagai langkah proaktif yang penting bagi meringankan beban kewangan rakyat, terutamanya mereka yang berkerja atau belajar di luar Sabah untuk pulang beraya bersama keluarga tersayang.

Beliau berkata musim Aidilfitri mempunyai nilai budaya dan emosi kekeluargaan yang mendalam, justeru tambang penerbangan yang mampu milik membolehkan keluarga berkumpul dan menyambut Syawal itu bersama-sama dalam suasana yang lebih bermakna.

“Pengurangan tambang ini membuktikan komitmen kerajaan menangani isu kos perjalanan tinggi sering dihadapi pengguna dari Malaysia Timur. Kami berharap kerajaan dapat mengembangkan inisiatif ini dengan mencari penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Mahathir Jalidin, 34, seorang pegawai kewangan di Klang, Selangor mencadangkan GLC mempertimbangkan untuk menyediakan subsidi tambahan atau baucar penerbangan kepada kakitangan mereka yang berasal dari Sabah, sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Ini bukan sahaja akan membantu pekerja mereka, tetapi juga menunjukkan komitmen syarikat terhadap kebajikan pekerja serta membantu mengurangkan kesesakan tempahan delain dilihat selari dengan usaha kerajaan berikan subsidi penerbangan ini," tambahnya yang berasal dari Sandakan.

Sementara itu, Azizul Rahman, 29, seorang juruteknik di Johor Bahru yang berasal dari Kudat, mencadangkan agar syarikat penerbangan memperkenalkan sistem tempahan berkumpulan dengan harga promosi untuk komuniti Sabah di Semenanjung.

“Contohnya, jika ada 50 orang daripada kawasan atau organisasi yang sama mahu pulang pada tarikh berdekatan, mereka boleh membuat tempahan berkumpulan dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya.

Beliau menambah sistem sedemikian bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malah memudahkan pengurusan logistik dan mengukuhkan semangat kemasyarakatan dalam kalangan warga Sabah di Semenanjung.

-- BERNAMA


 
 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan