EKONOMI

BNPL DAN HUTANG: ANTARA KEMUDAHAN DAN KEBIMBANGAN

23/03/2025 12:10 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama) -- Keupayaan pengguna untuk membayar semula hutang daripada kemudahan 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) semakin menjadi perhatian terutama dengan pertumbuhan ketara dalam transaksi BNPL di Malaysia telah menimbulkan kebimbangan terhadap risiko keberhutangan yang tinggi dan kepentingan literasi kewangan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata transaksi BNPL telah melonjak kepada RM7.1 bilion menjelang separuh kedua 2024 berbanding hanya RM4.9 bilion pada separuh pertama tahun yang sama.

Setakat Disember 2024, terdapat 5.1 juta pengguna aktif BNPL, majoritinya berumur antara 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

Mengulas mengenai isu tersebut, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata trend itu mencerminkan tahap perbelanjaan pengguna serta perkembangan kewangan yang lebih meluas.

"Seseorang hanya boleh membayar hutang sekiranya mempunyai pendapatan, yang menunjukkan bahawa mereka memiliki pekerjaan,” katanya.

“Maka, secara keseluruhan, peningkatan penggunaan BNPL menggambarkan akses kredit yang lebih baik dan meliputi kumpulan yang mungkin sebelum ini sukar mendapatkan pembiayaan melalui sistem perbankan tradisional," katanya kepada Bernama.

 

Risiko dan Keperluan Literasi Kewangan

 

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam menegaskan penggunaan BNPL yang tidak terkawal boleh membawa kepada risiko keberhutangan berlebihan serta berlakunya “predatory lending” ataupun pinjaman pemangsa.

"Isu utama di sini ialah sama ada kemudahan ini disalahgunakan atau digunakan secara berlebihan. Apabila pengguna berbelanja lebih daripada kemampuan mereka, ia boleh membawa kepada masalah keberhutangan yang serius termasuk kebankrapan," katanya.

Beliau turut mengaitkan peningkatan penggunaan BNPL dengan fenomena 'Fear of Missing Out' (FOMO) dalam kalangan pengguna, dipacu oleh pengaruh media sosial yang kuat.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam menekankan kepentingan celik kewangan bagi memastikan pengguna memahami risiko dan tanggungjawab mereka dalam menggunakan BNPL.

"Jika seseorang tahu had bajet bulanannya serta menggunakan BNPL secara strategik, ia boleh memberi manfaat tetapi mereka perlu berdisiplin, membayar mengikut tempoh yang ditetapkan untuk mengelakkan caj faedah yang tinggi," katanya.

Mohd Afzanizam turut berkongsi pandangan dari sudut Islam mengenai hutang, yang mana ia adalah tanggungjawab yang perlu diselesaikan dan tidak boleh diambil mudah.

“Di dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi, Rasulullah berkata: berhati-hatilah kamu dengan hutang. Berhati-hati kerana di siang hari ia (hutang) menjadi kehinaan, di malam hari menjadi keresahan.

“Hadis ini menekankan bahawa hutang bukan sahaja memberi tekanan kewangan tetapi juga boleh menjejaskan kesejahteraan hidup seseorang jika tidak diurus dengan baik,” katanya.

 

Akta Kredit Pengguna 2025

 

Bagi menangani isu ini, kerajaan sedang memuktamadkan Akta Kredit Pengguna 2025 yang bertujuan untuk mengawal selia industri kredit di Malaysia termasuk skim BNPL.

 Menurut Kementerian Kewangan, akta ini akan dikuatkuasakan selepas mendapat kelulusan Parlimen.

Pada Februari lepas, kerajaan dilaporkan berkata pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna sedang dalam tindakan menggubal RUU Kredit Pengguna (RUUKP) .

Di dalam ucapan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RUUKP bertujuan mewujudkan kawal selia secara bersepadu terhadap aktiviti kredit penggunaan termasuklah aktiviti pemberian pinjaman wang di bawah Akta 400.

Semalam, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia yang juga Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) Abu Hassan Alshari Yahaya berkata Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 dijangka diwartakan menjelang akhir tahun ini.

 Mohd Afzanizam menyambut baik langkah ini, ia sejajar dengan usaha Bank Negara Malaysia dalam menangani pinjaman pemangsa dan hutang isi rumah.

 

Sebelum Guna BNPL untuk Persiapan Raya, Fikir Dahulu

 

Sementara itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan kemudahan BNPL, terutamanya menjelang musim perayaan.

Ketua Pendidikan Kewangan Sektor Isi Rumah Nirmala Supramaniam berkata  BNPL, walaupun memudahkan perbelanjaan jangka pendek, boleh membawa risiko kewangan jangka panjang jika tidak dikawal.

”Kita kena faham bahawa BNPL adalah sejenis pinjaman. Jadi, hadkan penggunaan BNPL dan pastikan kita hanya menggunakannya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Jangan terlalu bergantung pada BNPL jika tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik dalam tempoh yang ditetapkan.

”Oleh itu, elakkan pembelian impulsif melalui BNPL. Sebelum menggunakan kemudahan BNPL, tanya diri sendiri: "Adakah saya benar-benar memerlukan barang ini? Bolehkah saya bayar secara penuh dalam masa yang dtetapkan?.

”Dan, sebelum menggunakan BNPL, pastikan kita memahami syarat-syarat BNPL tersebut, termasuk caj tersembunyi atau faedah yang dikenakan jika bayar lewat,” katanya.

Mengulas mengenai kesan jangka panjang penggunaan BNPL, beliau berkata kemudahan ini boleh menyokong perbelanjaan pengguna dalam jangka pendek tetapi berpotensi memperlahankan pertumbuhan ekonomi sekiranya kadar keberhutangan menjadi terlalu tinggi.

Nirmala berkata jika pengguna terlalu bergantung kepada BNPL, keupayaan mereka bagi mendapatkan pinjaman lain akan terjejas dan ini boleh menyebabkan penurunan dalam penggunaan secara keseluruhan, sekali gus memberi impak kepada ekonomi.

Namun, beliau turut melihat persaingan yang dicipta oleh BNPL sebagai pemangkin kepada industri perbankan untuk menawarkan produk lebih kompetitif.

"Institusi perbankan kini perlu menyesuaikan produk mereka untuk kekal relevan, termasuk menawarkan kadar faedah lebih rendah atau insentif lain. Ini akhirnya boleh memberi manfaat kepada pengguna," katanya.

Aidilfitri seharusnya disambut dengan kegembiraan, bukan dengan kebimbangan akibat hutang yang menjerut kewangan.

Dengan perancangan yang bijak dan berhemah, pengguna boleh menikmati suasana raya dengan tenang tanpa perlu berdepan dengan beban kewangan selepasnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan