KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneroka potensi untuk memperkenalkan teknologi blockchain asas bagi mempertingkat sistem kewangan negara seperti Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC), kata Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Bagaimanapun, bank pusat tidak terburu-buru untuk melaksanakannya memandangkan fokus utamanya adalah untuk mewujudkan platform sesuai bagi membolehkan ia dilakukan.
“Pada masa sama, kami mempunyai semua garis panduan dan langkah keselamatan yang sesuai untuk memastikan aspek ini akan berlaku atau berkembang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran penerbitan utama BNM di sini hari ini.
Abdul Rasheed berkata demikian ketika ditanya mengenai tokenisasi bon dan sukuk, iaitu inisiatif kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Khazanah Nasional Bhd.
Menurutnya kajian terhadap tokenisasi aset adalah sebahagian daripada usaha BNM untuk mengekalkan kesinambungan masa depan infrastruktur kewangan utama Malaysia yang lebih cekap dan berdaya tahan.
Beliau berkata BNM telah bekerjasama dengan pengawal selia global bagi inisiatif ini.
SC dan Khazanah Nasional berhasrat untuk memperkenalkan tokenisasi bon dan sukuk pada tahun ini, langkah yang bertujuan memperluas penyertaan runcit dalam pasaran modal Malaysia.
Abdul Rasheed berkata peranan BNM dalam inisiatif ini adalah untuk memastikan kebolehsampaian dikekalkan di samping memberikan perlindungan kepada peserta runcit dalam pasaran modal Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata penurunan jumlah aset BNM sebanyak 1.61 peratus kepada RM621.54 bilion pada 31 Dis 2024, sebahagiannya adalah berikutan pengukuhan ringgit.
-- BERNAMA