ISTANBUL, 23 Mac (Bernama-dpa) -- Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu yang ditahan, dengan tegas menolak semua dakwaan terhadapnya ketika protes berhubung siasatan ke atas ahli politik itu terus berlanjutan, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
"Tuduhan tidak bermoral dan tidak berasas yang dilemparkan kepada saya bertujuan merosakkan kedudukan serta kredibiliti saya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pentadbiran bandar selepas sesi soal siasat polis.
Beliau menafikan semua pertuduhan dan mendakwa ia berdasarkan laporan "palsu."
Seteru politik Presiden Recep Tayyip Erdogan itu ditahan pada Rabu, mencetuskan demonstrasi di seluruh negara.
Anadolu Ajansi melaporkan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya termasuk keahlian dalam organisasi jenayah, rasuah, penipuan, manipulasi bidaan, serta sokongan kepada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.
Selepas dua hari disoal siasat oleh polis, Imamoglu mula memberi keterangan kepada pendakwa raya di Mahkamah Caglayan, Istanbul pada Sabtu di bawah kawalan keselamatan ketat.
Sementara itu, beberapa ribu penyokongnya membantah larangan perhimpunan awam dan berhimpun di luar bangunan mahkamah Istanbul serta pejabat datuk bandar, menurut laporan media tempatan.
Imej daripada Agensi Berita Anka menunjukkan ribuan orang berarak di Istanbul.
Seperti malam-malam sebelumnya, penggunaan semburan lada terhadap penunjuk perasaan turut dilaporkan berlaku di Istanbul serta dalam satu perhimpunan di Ankara.
Protes juga dilaporkan berlaku di pelbagai kawasan lain di seluruh negara.
-- BERNAMA-dpa