AM

KKR HARAP ADA PELARASAN SOP UNTUK BAIKI JALAN NEGERI, BANDARAN YANG ROSAK DENGAN PANTAS

23/03/2025 03:12 PM

KLUANG, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) mengharapkan adanya satu pelarasan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) untuk membaiki jalan negeri dan perbandaran terutamanya apabila mengalami kerosakan teruk agar dapat dilaksanakan dengan pantas, sebagaimana yang diamalkan terhadap jalan Persekutuan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata SOP yang dilakukan terhadap kerosakan jalan Persekutuan, termasuk yang berlubang sama ada di bahagian tengah atau tepi akan dilakukan dalam tempoh 24 jam.

“Diharap dengan adanya pelarasan SOP ini mana-mana jalan yang rosak, terutamanya berlubang dapat dibaiki dengan segera selain syarikat konsesi turut diminta melihat kekemasan di bahagian tepi jalan dan tidak tertumpu di tengah jalan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan berkenaan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan jalan yang berlubang hingga mengakibatkan kematian dua pelajar di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Beliau berkata siasatan terperinci kejadian kemalangan berkenaan masih dilakukan dan dijangka akan selesai dalam tempoh sehari dua lagi.

“Saya turut berharap pemantauan secara kerap perlu dilakukan memandangkan jalan mudah rosak ketika waktu hujan…hari ini kita ronda jalan masih baik tetapi akibat hujan esoknya dah rosak,” katanya

Sementara itu, mengenai banjir yang berlaku di negeri ini beliau mengharapkan adanya peruntukan tambahan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk penyelenggaraan yang lebih kerap di sungai dan parit.

Ahmad berkata begitu juga dengan perancangan projek tebatan banjir yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini yang perlu disegerakan agar kejadian banjir yang luar biasa yang berlaku sekarang ini tidak lagi berulang.

“Sekarang ini hujan sememangnya tidak menentu dengan hujan lebat boleh turun dengan tiba-tiba sahaja hingga mengakibatkan banjir besar, oleh itu projek tebatan banjir yang melibatkan beberapa daerah di negeri ini perlu disegerakan,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Hussien turut mempunyai harapan yang sama dengan projek tebatan banjir disegerakan agar kejadian banjir besar tidak lagi berlaku terutamanya di kawasan DUN Mahkota yang lebih 600 penduduk terjejas.

“Bagi membantu meringan beban mangsa banjir pelbagai program telah dirangka terutamanya untuk mereka menyambut Syawal, antaranya hari ini kami memberikan baju raya kepada kanak-kanak yang terjejas banjir,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan