KUALA KRAI, 23 Mac (Bernama) -- Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan tidak menemui sebarang kesan tapak kaki gajah di Kampung Laloh di sini selepas tiga hari operasi pencarian dijalankan sejak Khamis lepas.
Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata walaupun tiada kesan baharu ditemui, pasukannya akan terus memantau dan mengawal keselamatan penduduk bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Kami telah melakukan pencarian selama tiga hari tetapi tiada kesan baharu tapak kaki gajah dikesan. Kemungkinan besar haiwan itu telah kembali ke dalam hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata lapan anggota, termasuk pegawai dari Unit Tindakan Gajah (UTG) Perhilitan Kelantan, ditugaskan di kampung berkenaan dan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menjejaki gajah tersebut.
Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang anggota Perhilitan dan seorang wanita warga emas cedera selepas dipercayai diserang gajah dalam kejadian di Kampung Laloh pada Khamis lepas.
-- BERNAMA