KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan dan Terengganu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Sabtu lepas ditamatkan.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, cuaca dijangka bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di Kelantan dan Terengganu,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan hari ini.
MetMalaysia sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu selama dua hari sehingga hari ini.
Mohd Hisham berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.
MetMalaysia juga boleh dihubungi di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
-- BERNAMA