KUCHING, 26 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas rokok seludup pelbagai jenama dianggar bernilai lebih RM12.64 juta dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Semaba di sini, 12 Feb lepas.
Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata dalam serbuan itu pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 44 tahun.
"Hasil pemeriksaan di premis itu menemukan 16.65 juta batang rokok kretek pelbagai jenama dianggar bernilai RM1.49 juta, manakala jumlah duti atau cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM11,142,864.
“Selain itu, anggota kastam turut menyita sebuah lori dianggar bernilai RM80,000 disyaki digunakan untuk mengangkut rokok terbabit," katanya pada sidang media di sini.
Norizan berkata premis tanpa nama yang terletak di kawasan terpencil itu dipercayai menjadi tempat penyimpanan rokok berkenaan sebelum diedar di pasaran tempatan.
Kes itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA