KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Sebanyak 1,482 kanak-kanak telah mendaftar di 71 buah sekolah Orang Asli setakat 17 Feb tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam memperluas pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada agenda utama dalam Reformasi Pendidikan KPM dan setakat 17 Feb lepas, pihaknya berjaya menambah 130 kelas prasekolah di seluruh negara.
“Sememangnya prasekolah telah wujud di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman perkampungan.
“Pada masa ini terdapat 98 buah sekolah Orang Asli dan daripada jumlah itu, 71 buah sekolah mempunyai 80 kelas prasekolah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Manolan Mohamad yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk mewujudkan prasekolah di kawasan pedalaman perkampungan Orang Asli.
Menjawab soalan tambahan Manolan mengenai usaha memperluas akses pendidikan ke kampung-kampung Orang Asli khususnya bagi menangani masalah buta huruf dalam kalangan pelajar, Wong berkata fokus utama KPM adalah memastikan akses pendidikan dapat disediakan terlebih dahulu.
“Berkenaan dengan akses pendidikan kepada anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman, pihak KPM dalam beberapa tahun ini juga telah membuat peluasan bagi Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 (K11).
“Pada tahun ini, K11 telah diperluaskan untuk lima kelas lagi bagi memastikan anak-anak kita dapat menghadiri program dan pembelajaran di prasekolah, sekolah rendah dan menengah,” katanya.
Wong memaklumkan setakat tahun lepas, KPM telah mewujudkan 28 buah sekolah K9 dan dua sekolah K11.
-- BERNAMA