SHAH ALAM, 24 Mac (Bernama) -- Tekanan hutang dipercayai menjadi punca seorang lelaki nekad menyamun kedai emas menggunakan senjata api di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Sabtu lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata hasil soal siasat terhadap lelaki berusia 32 tahun itu yang bekerja sebagai polis bantuan di sebuah syarikat utiliti di negeri ini mendapati dia mempunyai hutang hampir RM20,000 yang perlu dilunaskan.
"Pada hari kejadian, suspek yang telah berkhidmat selama hampir lapan tahun dijadualkan bekerja pada waktu malam. Suspek yang mempunyai kata laluan dan akses telah bertindak mengeluarkan senjata dari tempat simpanan syarikat dia bekerja pada pagi hari kejadian.
"Suspek seterusnya menggunakan senjata itu untuk melakukan jenayah terbabit sebelum memulangkannya semula dan kita akan panggil penyelia serta rakan sekerjanya untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan turut mendapati jenayah itu dilakukan seorang diri berdasarkan hasil rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan suspek membuat pemantauan pada tengah hari sebelum bertindak melakukan samun pada sebelah petang.
Hussein berkata dalam kejadian kira-kira 10 minit itu suspek telah bertindak mencekah senjata sebelum melarikan tujuh dulang berisi barang kemas dan wang tunai milik seorang pelanggan.
Beliau berkata suspek yang telah mendirikan rumah tangga selama empat tahun tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kejadian itu dipercayai merupakan jenayah pertama dilakukannya.
"Isteri suspek menetap di sebuah negeri di Pantai Timur dan kita percaya dia mungkin akan larikan diri ke sana. Ketika ditangkap, suspek sedang bersiap untuk bertugas syif malam.
“Polis berjaya menemukan antaranya 81 rantai emas, sekeping kad kuasa polis bantuan, satu beg galas, kunci rumah, beg silang, kunci kereta dan wang tunai RM1,800," katanya menambah lelaki itu kini direman hingga 29 Mac depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Semalam, Hussein mengesahkan seorang lelaki yang merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara, berjaya diberkas dalam tempoh 12 jam selepas kejadian.
Suspek dilaporkan melarikan tujuh dulang barang kemas yang dipamerkan sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta yang diletakkan di luar pasar raya dengan kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan