AM

YAYASAN PETRONAS SANTUNI 4,850 KELUARGA, 21 RUMAH KEBAJIKAN SEMPENA AIDILFITRI

27/03/2025 12:09 AM

KOTA BHARU, 26 Mac (Bernama) -- Sebanyak 4,850 keluarga dan 21 rumah kebajikan di seluruh negara menerima manfaat daripada sumbangan Yayasan Petronas sebagai persiapan menyambut Aidilfitri minggu depan.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Mohamad Ahmad Shazly Ramli berkata sumbangan itu diberikan menerusi program Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri yang dilaksanakan tahun ini.

“Sumbangan ini membolehkan penerima merasai kemeriahan Aidilfitri bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Pada masa sama, ia turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, meningkatkan kualiti hidup serta taraf sosioekonomi penerima.

“Di Kelantan, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 400 keluarga kurang berkemampuan menerima manfaat daripada sumbangan ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Mohamad Ahmad Shazly berkata setiap keluarga terpilih menerima sumbangan pek perayaan yang mengandungi barangan makanan, selain barangan bertemakan Aidilfitri.

“Program ini adalah antara komitmen berterusan Petronas melalui Yayasan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan sebagai persiapan menyambut hari lebaran.

“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan memerlukan dan membawa kegembiraan sempena Aidilfitri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan