PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Beliau dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 3.05 petang. Terdahulu beliau tiba di ibu pejabat SPRM di sini pada 9.54 pagi dan proses merakam keterangan berlangsung kira-kira lima jam.
Ini merupakan hari keenam bekas perdana menteri kesembilan itu hadir ke ibu pejabat SPRM di sini, untuk diambil keterangannya.
Ditanya sama ada beliau akan hadir semula esok bagi menyambung proses merakam keterangan, Ismail Sabri secara ringkas berkata: “Selamat Hari Raya”.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sementara itu, sumber SPRM berkata rakaman percakapan Ismail Sabri selesai setakat hari ini dan akan disambung pada tarikh yang belum ditetapkan lagi.
Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.
-- BERNAMA