AM

KERAJAAN KELANTAN BERI JAMINAN BEKALAN AIR MENCUKUPI KETIKA AIDILFITRI

26/03/2025 03:46 PM

KOTA BHARU, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan Kelantan memberi jaminan bahawa bekalan air bagi penduduk negeri untuk kegunaan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah mencukupi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri telah melakukan persiapan rapi termasuk mengambil langkah untuk mengatasi sebarang kemungkinan gangguan bekalan air.

"Kita sedia maklum bahawa kepulangan anak perantau semasa musim perayaan akan memberi kesan kepada bekalan air di negeri ini. 

"Oleh itu sebagaimana tahun-tahun lepas, kita telah membuat persiapan tambahan bagi memastikan kelancaran bekalan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata antara langkah yang diambil adalah menyediakan pelan sokongan sekiranya berlaku gangguan bekalan air, termasuk menambah bilangan lori tangki untuk penghantaran air.

Mohamed Fadzli berkata pengguna yang terjejas boleh menghubungi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi mendapatkan bantuan bekalan air.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan